Pages

Wednesday 24 September 2014

CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS.....

CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS

            Menjadi guru pendidikan khas adalah sesuatu yang amat berbeza dan mencabar berbanding menjadi guru biasa.(Utusan Online, 2011). Kata-kata tersebut adalah petikan daripada seorang guru pendidikan khas yang sebelum ini adalah guru biasa. Menurut Cikgu Alizah Bt Abdul Malek, kehidupan sebagai seorang guru pendidikan khas sangat mencabar kerana pelbagai karenah murid yang berbeza terpaksa mereka hadapi. Pendapat ini telah disokong oleh seorang lagi guru pendidikan khas iaitu Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota bahawa menjadi guru pendidkan khas sangat mencabar. (Kosmo, 2008)

            Cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi ialah murid-murid sendiri. murid-murid ini akan melakukan pelbagai aksi ataupun sikap untuk menunjukkan sikap memberontak, marah, sedih dan sebagainya. Terdapat juga murid yang membuat perangai disebabkan inginkan perhatian. Ia telah dialami oleh Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota yang telah digigit dan dipukul kerana tidak memberikan perhatian kepada seorang pelajar. Disebabkan kerenah yang pelbagai, guru perlu menggunakan segala kepakaran mereka samaada memujuk, menyelesaikan masalah dan sebagainya.


            Seterusnya ialah cabaran daripada ibu bapa apabila meletakkan harapan yang tinggi terhadap guru untuk mengubah anak mereka. Apabila wujud kesedaran ibu bapa terhadap masalah pembelajaran anak-anak mereka,  mereka akan menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka akan mula mengharapkan perubahan terhadap anak mereka sedangkan guru hanya mendidik semasa murid di sekolah sahaja. Tetapi dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas dalam menjalankan tugas, guru pendidikan khas merasakan mereka mampu membawa perubahan kepada anak-anak istimewa ini. Seorang ibu iaitu Dayang Kianhing, telah mengatakan bahawa anaknya telah berlaku perubahan yang memberangsangkan apabila sudah boleh menghafal surah al-Fatihah dan bersolat serta sudah berminat ke sekolah. Ia adalah perkembangan yang memberangsangkan kerana anaknya sebelum ini mengalami masalah hiperaktif dan masalah pertuturan. (Utusan Online, 2011)          

MASALAH YANG DIHADAPI OLEH KANAK-KANAK MASALAH PEMBELAJARAN DAN MASALAH PENGLIHATAN


MASALAH YANG DIHADAPI OLEH KANAK-KANAK...........

MASALAH PEMBELAJARAN...


Lemah dalam pengamatan termasuklah tumpuanperhatian, ingatan dan pemikiran

Masalah dalam kognitif, akademik, sosial dan emosi serta tingkah laku

Sukar mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi pembelajaran

Kesukaran komunikasi


Mengalami kesukaran untuk mencapai dan mengingat

MASALAH PENGLIHATAN

Kerap mengalami masalah sakit kepala dan pening, ingin muntah apabila membaca atau
membuat kerja yang memerlukan penglihatan yang dekat, imej yang berbayang dan
penglihatan yang kabur.

Ketidakupayaan memahami benda-benda abstrak, pengamatan dan daya anggaran berat,
tidak memahami konsep bentuk, ketidakupayaan mengagak sesuatu saiz, jarak,
perhubungan antara objek, menyalin huruf, nombor perkataan dan ayat

Mengalami masalah tingkah laku yang berbeza dengan kanak-kanak normal

BANTUAN YANG DIPERLUKAN OLEH KANAK-KANAK MASALAH PEMBELAJARAN DAN MASALAH PENGLIHATAN


BANTUAN YANG DIPERLUKAN OLEH KANAK-KANAK..........

MASALAH PEMBELAJARAN..

Bantuan dari segi kewangan untuk keperluan kanak-kanak tersebut
Bantuan tenaga pengajar yang lebih mahir tentang masalah yang dihadapi oleh kanak-
 kanak ini.
Alat bantuan mengajar yang lengkap disediakan untuk mengajar kanak-kanak masalah
 pembelajaran

Satu program khas perlu disediakan untuk memenuhi keperluan murid-murid ini
 mengambil kira aspek-aspek seperti masa, bahan, budaya, kelas, teknik mengajar,
 bantuan kepakaran dan penglibatan masyarakat.

MASALAH PENGLIHATAN..

Sistem tutorial multimedia atas talian Kod Braille Bahasa Malaysia juga telah
 diperkenalkan untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran Kod Braille Bahasa
 Malaysia.
Menyediakan pelbagai pendedahan dan latihan intensif. Diantaranya ialah peningkatan
 deria bau diperingkat bayi. Bayi perlu diberikan pendedahan tentang individu-individu
 penting seperti ibu, bapa dan adik-beradik. Tindakan ini akan memberikan kesan
 psikologi iaitu rasa selamat pada seseorang bayi.
Menyediakan peralatan yang sesuai mengikut tahap masalah yang dihadapinya. Antaranya
 adalah Tongkat putih, mesin braille, buku Braille, alat sentuh seperti peta, gambar rajah
 timbul, model tiga dimensi dan lain-lain.

MARI MENGENALI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS....


MARI MENGENALI KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.......


MASALAH PEMBELAJARAN

Sebagai masalah dalam satu atau lebih daripada proses asas psikologi yang melibatkan
 pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan.


Antara Kecacatan Yang Dialami Oleh Kanak-kanak Pendidikan Khas Masalah
Pembelajaran ialah:

Sindrom Down
Kepelbagaian Kecacatan
Epilapsi
Pertuturan
Emosi atau Tingkah Laku
Selebral Palsy
Hypoaktif

CIRI-CIRI

Mudah kecewa disebabkan pengalaman kegagalan yang berulang-ulang
Sikap dan nilai mereka tidak selaras dengan tingkahlaku kanak-kanak biasa
Mempunyai bidang perhatian yang singkat

PUNCA-PUNCA

Kecederaan Otak
Keturunan
Ketidakseimbangan Biokimia
Faktor Persekitaran

MASALAH PENGLIHATAN

Kehilangan daya penglihatan terhadap cahaya (kemampuan menyatakan kewujudan
pencahayaan dari kawasan gelapmahupun unjuran cahaya iaitu kebolehan untuk
mengenal pasti punca arah cahaya

CIRI-CIRI

Rupa

- Bebola mata yang selalu berputar -putar.
- Tidak bertindak balas dengan cahaya
- Mata yang selalu bergerak -gerak

Tingkah laku

- Selalu memusing kepala ke sebelah sehaja
-Kerap berkelip
-Kerap menggosok mata

Ciri fizikal mata: mata merah, mata tertutup, tiada anak mata, biji mata terkeluar,
inflamasi pelupuk mata, mata berair, juling, anak mata putih, dan mata kelihatan normal
tetapi tidak bertindak balas terhadap benda-benda dalam persekitaran atau tidak melihat
melihat tepat ke arah orang yang bercakap dengannya.

PUNCA-PUNCA

Kecederaan
Sifilis
Baka dan keturunan
Rubella adalah penyakit virus berjangkit seakan akan cacar yang boleh menyebabkan
kecacatan kepada bayi sekiranya dihidapi oleh seseorang ibu yang mengandung antara
satu hingga tiga bulan
Komplikasi semasa hamil dan semasa lahir
Penyakit



Tuesday 23 September 2014

KHIDMAT SOKONGAN DALAM PENDIDIKAN KHAS


KHIDMAT SOKONGAN DALAM PENDIDIKAN KHAS

    Berdasarkan dua artikel yang saya telah baca tentang khidmat sokongan, khidmat sokongan merupakan satu kumpulan orang yang mempunyai kepakaran dan keperihatan dalam kerja – kerja sosial . Mereka terdiri daripada para professional yang mahir dalam bidang tertentu dan bekerja secara berpasukan dan tidak berdasarkan bayaran. Mereka dikenali sebagai Pasukan pelbagai Disiplin.Khidmat Sokongan biasanya dalam bentuk bantuan atau pertolongan seperti khidmat kepakaran, penasihat, kemudahan, perundangan, kewangan atau psikologi dalam menangani murid- murid pendidikan khas bagi mencapai matlamat pendidikan. Perkembangan khidmat sokongan telah bermula sekitar tahun 1970-an apabila  ahli-ahli psikologi percaya bahawa konsultasi perlu dipermudahkan. Menjelang tahun 1980-an khidmat sokongan mula mendapat perhatian dalam pendidikan khas (Cook &Friend,1991a) Beliau juga telah mendefinisikan khidmat sokongan sebagai satu gaya perhubungan secara langsung sekurang-kurangnya antara dua kumpulan yang bersetuju dalam membuat keputusan untuk mencapai matlamat yang sama. Menurut Sher dan Baur (1991), khidmat sokongan sepenuhnya merangkumi interaksi setiap anggota di sekolah yang melibatkan antara guru dengan ibu bapa murid-murid khas,guru,ibu bapa dan murid-murid lain dalam kelas biasa. Kefahaman tentang murid-murid khas bukan hanya dapat membantu pihak sekolah membantu mereka tetapi juga menghargai kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada anggota sekolah.Khidmat sokongan dalam pendidikan khas telah diperluaskan dalam kalangan guru-guru khas, guru-guru biasa, ibu bapa, murid dan agensi khidmat masyarakat. Penglibatan keluarga menjadi agenda yang penting dalam tahun     1990-an. Hal ini telah menyebabkan terbentuknya kolaborasi kumpulan pelbagai disiplin. Kolaborasi ialah perkembangan dan pengekalan yang positif, hormat-menghormati, perhubungan egalitarian dan saling bekerjasama dalam menyelesakan sesuatu masalah dan perkongsian dalam membuat sesuatu keputusan melalui proses perundingan. Kolaborasi adalah usahasama di antara beberapa pihak, kumpulan, organisasi atau disiplin untuk melaksanakan sesuatu projek. Usaha ini diperlukan kerana sumbangan dan peranan mereka yang berbeza-beza dapat membantu kanak-kanak tersebut. Pihak-pihak yang terlibat dalam kolaborasi pendidikan khas di sekolah ialah kaki tangan sekolah seperti guru besar, guru pendidikan khas, pentadbir dan staf sokongan sekolah, pakar-pakar perubatan, terapi, jurupulih, patologis, jururawat, motivator, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga. persatuan-persatuan dalam komuniti, jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).
    Antara sebab mengapa perlunya ada kolaborasi dan kerjasama di antara pelbagai disiplin dalam pendidikan khas di sekolah adalah kerana untuk menjalankan diagnosis tentang ketidakupayaan dan tahap kanak-kanak pendidikan khas, setiap jenis ketidakupayaan dan tahapnya memerlukan pengendalian yang berbeza caranya, membuat keputusan secara berpasukan tentang penempatan jenis persekolahan kanak-kanak pendidikan khas, setiap kanak-kanak pendidikan khas yang mengalami masalah yang berlainan memerlukan latihan kemahiran dan kemudahan peralatan yang berbeza, pendidikan khas memerlukan bantuan tenaga yang ramai untuk dikendalikan, setiap kanak-kanak khas mempunyai masalah sampingan yang berkait rapat dengan masalah kefungsian dan kebolehan untuk belajar perlu dirujuk kepada beberapa pakar, pendidikan khas memerlukan sumber kewangan yang besar dengan mengabungkan tenaga dan peralatan dari pelbagai pihak dapat mengurangkan beban ini dan akhir sekali masalah tingkah laku dan pembelajaran dalam kelas biasanya dapat diselesaikan dengan lebih efektif jika terdapat usahasama antara pihak-pihak tertentu terutama sekali guru dan ibu bapa.

KOLABORASI PELBAGAI PIHAK DAN AGENSI

 IBU BAPA

    Peranan ibu bapa terhadap anak-anak pendidikan khas ialah mereka perlulah peka terhadap perkembangan anak-anak. Dalam menentukan sesuatu proses pengajaran yang berkesan, peranan ibu bapa amat perlu untuk menjayakan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sentiasa memberikan kerjasama dan membentuk tingkah laku dan akademik anak mereka. Ibubapa seharusnya memberi latihan kepada anak mereka sewaktu anak mereka berada di rumah dan memastikan anak mereka sentiasa menyiapkan tugasan yang diberi. Ibu bapa juga perlulah mengetahui cara untuk menangani anak-anak mereka yang memiliki kecacatan dari segi mental, emosi dan fizikal. Ibu bapa juga perlulah mengesan dengan kadar segera masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka kerana kemungkinan masalah itu dapat dipulihkan. Ibu bapa juga perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar perubatan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Mereka juga perlulah memasang strategi yang sesuai untuk anak-anak mereka yang menghadapi masalah untuk membentuk kelakuan anak-anak itu .
    Ianya mampu memberikan kesan yang positif terhadap perkembangan anak-anak dengan seimbang dari aspek tingkah laku dan efektif. Ada segelintir ibu bapa malu mempunyai anak yang ada kad OKU dan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa memikul beban seumur hayat mereka dengan jenama OKU tersebut. Sebahagian Ibu bapa beranggapan tidak perlu bersusah payah mengajar bersungguh-sungguh kerana mereka sedar anak mereka memang begitu. Memadai hanya pergi ke sekolah , bergaul dengan rakan dan ibu bapa boleh membuat tugas lain sementara anak ke sekolah. Itulah tanggapan yang paling pahit untuk dterima oleh seorang guru Pendidikan Khas. Perasaan kasih sayang itu bertukar kepada kasihan maka sebab itu anak mereka tidak dapat menunjukkan perkembangan dan kebolehan yang sebenar mengikut keupayaan mereka. Kesibukan ibu bapa sehingga mengurangkan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak mereka.  Bosan menghantar anak mereka ke sesi terapi  yang pada mereka tidak membawa makna apa-apa. Pada hal mereka tidak menyedari perkembangan yang berlaku pada anak-anak mereka. Malahan ibu bapa tidak menjalankan sesi tersebut di rumah secara berterusan . Selain itu, penglibatan ibu bapa dalam program pendidikan khas juga dapat memberikan semangat kepada murid-murid khas. Mereka juga akan berasa lebih yakin pada diri sendiri kerana ada yang menyokong mereka. Penglibatan ibu bapa juga dapat meningkatkan lagi perkembangan anak-anak mereka.

 GURU

    Peranan pihak sekolah seperti guru-guru juga amat penting dalam program pendidikan khas. Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran.
     Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui. Guru juga berperanan penting untuk membentuk kanak-kanak pendidikan khas supaya mereka pandai berdikari dan menguruskan diri. Mereka juga perlulah berfikiran kreatif, inovatif dan imagenatif. Ini kerana jika guru pendidikan khas seorang yang mempunyai ciri-ciri begini ia dapat menarik minat murid-murid berkeperluan khas. Guru pendidikan khas juga perlulah membawa murid-murid berkeperluan khas melawat kawasan luar agar dapat meluaskan pengetahuan mereka tentang dunia luar.
    Selain itu, untuk melancarkan lagi perkembangan program pendidikan khas kerjasama guru pendidikan khas sangat penting. Guru pendidikan khas dan juga guru biasa perlulah berkongsi pendapat untuk mencapai objektif dalam pendidikan khas. Mereka juga boleh bertuka-tukar bahan untuk mengajar. Hal ini dapat menjimatkan lagi masa dan tenaga. Maka ketahuilah bahawa peranan guru juga sangat untuk merealisasikan aspirasi pendidikan khas.

KOMUNITI

    Komuniti berperanan dalam menerima dan mengambil berat tentang golongan orang kurang upaya (OKU). Komuniti harus lebih bersifat terbuka dan merendah diri dalam membantu dan menghulurkan bantuan kepada golongan OKU. Komuniti yang bertanggungjawab harus bersedia melibatkan diri dalamsegala program yang dianjurkan untuk golongan OKU.

BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

    Peranan badan-badan bukan kerajaan ialah untuk mengesan dan menjalankan rawatan, pembelajaran dan penerimaan kanak-kanak berkerperluan khas. Mereka juga memberi bantuan dan nasihat kepada keluarga kanak-kanak berkerperluan khas serta mereka juga memberi penerangan kepada ibu bapa, para professional dan orang ramai. Mereka juga berperanan untuk memberi asuhan-asuhan kepada kanak-kanak berkerperluan khas dan kanak-kanak cacat anggota dan mental. Kanak-kanak ini diberi latihan mental dan fizikal. Badan-badan bukan kerajaan juga menganjurkan program-program terapi pertuturan bagi murid-murid sumbing bibir dan lelangit. Di samping itu, ia juga memberi khidmat sokongan kepada ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan ini. Mereka juga membantu murid berkeperluan khas seperti murid-murid sindrom down mendapat pelajaran serta latihan kemahiran hidup sebelum mereka dihantar ke sekolah khas kerajaan. Badan kerajaan ini juga menjalankan aktiviti seperti mengesan murid-murid buta untuk didaftar dan dirujuk. Mereka juga menjalan program tindakan awal ‘early intervention’, menjalankan program pra sekolah, memberi nasihat kepada ibu bapa dan menjalankan program penglihatan terhad. Terdapat beberapa pusat yang ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan seperti Malaysian Care, Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan, Persatuan Orang Buta Malaysia, Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Cleft Lip and Palate Association of Malaysia, NURY, TASPUTRA PERKIM dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

    Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan dari segi perkhidmatan kepada orang kurang upaya yang bersesuaian dengan syarat yang ditetapkan. Mereka menyediakan perkhidmatan kepada sesiapa yang mendaftar dengan mereka sahaja. Mereka juga mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar kurang upaya. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memainkan peranan dalam menggalakkan pelbagai kemudahan bagi membolehkan OKU bergerak bebas. “ Kod Amalan Akses Bagi Orang Kurang Upaya Ke bangunan Awam” dirangka bagi menwajibkan bangunan baru mempunyai kemudahan akses kepada OKU. Antaranya termasuklah laluan yang bersesuaian dengan kerusi roda, lif khas dengan reka bentuk yang sesuai, tempat letak kereta, tandas khas dan sebagainya.
    Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan pelbagai program untuk menjaga, membantu dan menyediakan kemudahan untuk membolehkan orang kurang upaya menjalani yang normal kehidupan. Mengadakan bantuan alat tiruan seperti anggota tiruan, tongkat, kaki palsu, tangan palsu, kalipers, kerusi roda , alat pendengaran, cermin mata khas dan alat-alat lain diberi supaya orang kurang upaya yang miskin dan berkeperluan dapat bergerak serta memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan. Usaha telah diambil untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya seperti kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kemudahan bebas dari halangan.
    Di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengadakan Elaun Pekerja Cacat (EPC). Elaun insentif kepada OKU yang bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bagi individu untuk menggalakkan mereka berminat bekerja. Skim ini bertujuan menggalakkan OKU berdikari dan penyenggaraan pendapatan dapat memenuhi keperluan asas kehidupan OKU dan  tanpa bergantung kepada ahli keluarga atau orang lain. OKU yang bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif  dan untuk meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.                                                                              
    Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan faedah seperti pemeriksaan kesihatan, pemberian ubat dan kemudahan wad di hospital kerajaan secara percuma, potongan tambang perjalanan, pengecualian cukai jalan, dokumen perjalanan percuma, tambahan pelepasan cukai pendapatan, potongan duti eksais bagi pembelian kenderaan nasional dan potongan harga bagi pembelian rumah kos rendah. Latihan pemulihan seperti latihan pra vokasional, kelas akademik tidak formal, pendidikan agama, rekreasi dan aktiviti luar diberikan kepada individu orang kurang upaya kategori terencat akal sehingga ke tahap sempurna mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing. Perlindungan dan jagaan diberi kepada orang kurang upaya yang mengalami kecacatan yang teruk.

PAKAR PERUBATAN

    Dari perspektif perubatan, kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai mengalami kecacatan atau terdiri daripada kanak-kanak kurang upaya. Oleh itu pendekatan perubatan terhadap kanak-kanak ini ialah untuk memulih atau mengubati kecacatan yang dialami. Umpamanya, usaha ke atas kanak-kanak pekak dilakukan untuk memulih pendengaran dan melatih mereka untuk bertutur. Begitu juga usaha perubatan yang dilakukan ke atas kanak-kanak buta adalah untuk memulih penglihatan mereka dengan menggunakan pendekatan teknologi dan perubatan terkini yang pesat membangun dari semasa ke semasa. Pakar perubatan merupakan kumpulan profesional yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pendidikan khas di Malaysia. Klasifikasi kanak-kanak berkeperluan khas (exceptional children) yang dilakukan oleh ahli perubatan berasaskan kepada ciri-ciri perubatan. Pengesahan sama ada seseorang kanak-kanak perlu belajar di sekolah biasa atau sekolah khas dilakukan oleh ahli perubatan.
    Biasanya ahli perubatan akan menilai kanak-kanak berasaskan kecacatan atau kekurangan yang dimiliki berdasarkan ciri-ciri perubatan. Pakar perubatan menekankan kepada pemulihan daripada kecacatan atau kekurangan. Sebab atau punca kecacatan atau kekurangan diberi fokus utama dan cadangan untuk mengatasi kecacatan berkenaan diberikan. Pemuliharaan (rehabilitation) dilakukan dengan menggunakan pelbagai kaedah perubatan dengan tujuan untuk memastikan kecacatan atau kekurangan yang ada pada seseorang itu tidak bertambah teruk. Sebaliknya, pakar pendidikan khas bermatlamat memberi pendidikan sebaik mungkin, yang bersesuaian dengan potensi yang ada pada murid berkeperluan khas dengan mengambil kira bahawa kecacatan yang ada pada seseorang bukan penghalang kepada mereka untuk mendapat dan berjaya dalam pendidikan. Kanak-kanak berkeperluan khas dilihat sebagai satu golongan manusia yang memerlukan pendidikan yang sesuai dengan kebolehan mereka. Oleh itu, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai ciri-ciri boleh mengurus diri sendiri dan mempunyai keupayaan untuk menerima pendidikan (educable) seharusnya diterima untuk bersekolah. Terdapat enam pakar perubatan yang terlibat dalam pendidikan khas iaitu pediatrik, neurologi, terapi pertuturan, terapi fizikal, audiologi dan oftomologi. Pediatrik bertanggungjawab untuk mendiagnostik dan merawat penyakit kanak-kanak dengan mengesan punca masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut seperti genetik, kewarisan, prenatal dan postnatal. Pakar neurologi pula mendiagnostik dan mengubati penyakit yang berkaitan dengan neuorologikal seperti kecederaan otak. Ia juga mengawal hiperaktif dan masalah menumpu perhatian dengan memberikan ubat “ Ritalin” untuk mengawal kanak-kanak hiperaktif. Pakar oftomologi akan menaksirkan penglihatan pelajar.Sekiranya mereka mempunyai masalah penglihatan yang berbeza daripada kanak-kanak normal mereka memerlukan cara pengajaran yang berbeza dengan kanak-kanak normal. Kanak-kanak yang disyaki mempunyai masalah dari segi pendengaran pula akan dirujuk kepada pakar audiologi untuk mengesan fungsi pendengaran kanak-kanak tersebut. Terapi pertuturan pula diadakan untuk mengesan masalah komunikasi dari segi pertuturan dan bahasa kanak-kanak.Terapi pertuturan ini akan menggunakan pelbagai pendekatan, teknik dan cara untuk membantu kanak-kanak seperti gagap, sumbing dan kanak-kanak yang mempunyai masalah alat artikulasi untuk bertutur. Terapi fizikal pula adalah untuk menaksir fungsi-fungsi motor halus dan motor kasar kanak-kanak, melatih kemahiran hidup serta kemahiran untuk membantu diri.

RUMUSAN


    Kesimpulannya, kolaborasi antara ibu bapa, guru, pakar perubatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) sangat penting dalam pendidikan khas untuk perkembangan dan pengekalan yang positif, hormat-menghormati, perhubungan egalitarian dan saling bekerjasama dalam menyelesakan sesuatu masalah dan perkongsian dalam membuat sesuatu keputusan melalui proses perundingan. Peranan pelbagai pihak juga sangat penting untuk perkembangan yang positif dalam diri kanak-kanak berkeperluan khas. Hal ini dapat membuatkan matlamat pendidikan khas tercapai.